Assalamualaikum.
Jauh pakteh merenung. Puas mencari hala tuju keturunan pakteh yang akan datang. Jika begini keadaannya, jangankan cicit, waima anak pakteh sendiri belum tentu dapat menikmati keamanan yang sebelum ini wujud di bumi Malaysia tercinta ini.
Pakteh berfikir-fikir mengapa begitu ramai orang mempertikaikan MELAYU. Mengapa dipersoal itu dan ini. Menuntut hak itu dan mengungkit hal ini. Bukan bermaksud mempersoal hak orang lain tetapi keadaan bangsa pakteh sendiri....mengapa begitu terancam rasanya?. Oleh itu mulai hari ini pakteh rasa biarlah drama politik dimainkan di pentasnya...pakteh akan mulakan siri baru yang berlandaskan fakta dan rujukan yang boleh dinilai oleh sesiapa sahaja. Pakteh akan mula menulis berkaitan sejarah dan asal usul nenek moyang kita. Pakteh takkan menyebelahi mana-mana kaum tetapi akan mengemukakan fakta berdasarkan hasil kajian. Untuk bab 1, begini faktanya:-
Menurut buku Tamadun Dunia hasil tulisan Sivachandralingam Sundara Raja dan Ayadurai Letchumanan, di muka surat xxxiii “Masyarakat Melayu mempunyai sejarah ketamadunan yang tersendiri. Sejak zaman dulu kala, orang Melayu telah membina asas tradisi kebudayaan yang maju standing dengan peradaban yang lahir di India, China, Mesir dan Mesopotamia. Bangsa Melayu terdiri daripada pelbagai suku bangsa yang mendiami kepulauan Melayu dan bertutur bahasa Melayu serta kelompok-kelompok serumpun bahasa iaitu bangsa Melayu-Polinesia (Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, 1994; hal. Vii). Dari sudut geografi, rantau alam Melayu meliputi satu kawasan yang luas iaitu dari Semenanjung Tanah Melayu hingga kepulauan Indonesia, Filipina dan menganjur jauh ke Ocenia di Lautan Pasifik.
Sejarah peradaban di Alam Melayu bermula sejak zaman prasejarah yakni dengan kewujudan manusia pada zaman paleolitik. Bukti terpenting kewujudan manusia adalah hasil penemuan fosil manusia di Jawa oleh Eugene Dubois pada tahun 1890 M. Menjelang zaman Neolitik, berlaku perkembangan yang pesat dengan kemunculan kegiatan pertanian, menternak binatang dan membuat peralatan tembikar.
Zaman Neolitikjuga menyaksikan kedatangan kumpulan manusia dari Tanah Besar ke kepulauan Melayu. Menurut Heine-Geldern penghijrahan pertama berlaku sekitar 2500-1500 S.M. Kumpulan ini dikenali sebagai Proto-Malay dan mereka mendiami kawasan pedalaman di Kepulauan Melayu. Penghijrahan kumpulan kedua yang membawa kebudayaan logam dikenali sebagai Deutro-Malay. Mereka mendiami kawasan persisiran pantai di kepulauan Melayu (Mohd. Taib Osman, 1974;11).
Pada akhir zaman prasejarah muncul Zaman Logam. Zaman Logam ini dilambangkan dengan penemuan gendang gangsa di Dong Son, Vietnam Utara. Gendang jenis ini juga ditemui di Semenanjung Tanah MElayu iaitu di Sungai Lang (Selangor) dan Batu Buruk (Terengganu). Pada zaman ini juga berlaku perkembangan dari segi kepercayaan iaitu tradisi Megalitik yakni membina batu-batu besar bagi pemujaan nenek moyang.
Bersambung bab 2
No comments:
Post a Comment