Assalamualaikum,
Dalam bab 1 memang tidak jelas dimana lahirnya Melayu sedangkan alam nusantara ini digelar Alam Melayu. Memang nampak tidak jelas kerana pakteh bermula dari awal, dari zaman manusia menetap di dalam gua lagi. Oleh itu pakteh berharap rakan-rakan yang berminat untuk melihat "Ketuanan Melayu" dari aspek sejarah, bersabarlah...harinya akan tiba bila bab ini akan sampai kepada penghujungnya. Bila?...bersabarlah...
Dalam keadaan ada pemimpin Cina yang menuduh Melayu sebagai pendatang, ada HERO filem porno yang bercakap soal Ketuanan Melayu, Ada presiden parti yang berdolak dalik soal Melayu, pakteh amat berharap...berikan ruang kepada pakteh untuk terus menulis berkaitan sejarah yang pasti membosankan ini.
Bab 2 ceritanya begini;
Perkembangan Awal Petempatan Di Tanah Melayu
Selepas perkembangan negara kota ini, wujud juga bandar-bandar utama sesebuah kerajaan seperti Kedah, Temasik, Melaka, Klang, Kuala Terengganu dan Johor. Petempatan di pinggir kuala sungai bagi pantai timur dan pinggir laut di sepanjang selat Melaka memberi gambaran bahawa telah berlaku proses urbanisasi sebelum kedatangan pengaruh kolonial dan imigran (Lim Heng Kow, 1978:1)
Antara abad ke-7 M dan ke-13 M, muncul petempatan-petempatan di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Singapura, Selangor dan Kedah. Kebangkitan Melaka pada abad ke-15 M meletakkan asas yang kukuh bagi kelahiran kuasa politik utama di Semenanjung dan berjaya muncul sebagai pelabuhan entrepot utama di Nusantara.
Sebelum Melaka, Kedah merupakan negeri tertua di Tanah Melayu. Pelabuhan di Kedah adalah yang terbesar di Semenanjung. Berdasarkan kepada sumber-sumber arkeologi dan dokumen-dokumen China, India dan Arab, Whaetley berpendapat bahawa petempatan di selatan Kedah bertarikh abad ke-5 atau ke-6 Masihi.