Ucapan YAB Dato Paduka Haji Mukhriz Tun
Mahathir, Seri Mentaloon, Alor Setar, Kedah 1730hrs 19 September
2013
Assalamualaikum WBT
Yang dimuliakan Pengerusi Majlis
Yang Berhormat Dato Paduka Ahmad Bashah Hanipah
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah
Yang Berhormat/ Yang Berbahagia Dato-Dato, Saudara-saudari Ahli Badan
Perhubungan UMNO Negeri Kedah
Yang saya kasihi Ketua-ketua Bahagian, dan rakan-rakan yang sudi hadir
bersama dari seluruh pelusuk negara (Kita berikan tepukan gemuruh)
Yang dikasihi Ketua-ketua sayap Wanita, Pemuda dan Puteri
Bahagian-bahagian
Ahli-ahli Jawatankuasa Bahagian-bahagian 4 peringkat
Ketua-ketua Cawangan dan ketua-ketua sayap Cawangan 4 peringkat
Tuan-tuan. Puan-puan, Warga Keluarga UMNO Negeri Kedah
Para wartawan dan petugas media
Anggota-anggota Keselamatan
Hadirin-hadirat yang dirahmati Allah sekalian,
- Pertama sekali saya ingin mengucapkan rasa penghargaan yang tinggi kepada
kesemua yang sudi hadir pada petang ini. Tiada ungkapan yang sesuai dapat
mengambarkan kepuasan kita untuk kembali berkumpul di rumah kita ini, Seri
Mentaloon, setelah lebih 5 tahun tidak berpeluang menggunakannya.
- Marilah kita panjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT atas nikmat yang
telah diberikan. Dengan izinNya jualah, keluarga UMNO dapat kembali berkumpul di
dewan yang kita bina megah ini. Dengan izinNya jualah, kita kembali memegang
tampuk pemerintahan Negeri Kedah Darul Aman yang kita cintai. Dengan kuasa
politik yang sedang kita pegang ini jugalah, akan kita genggam erat amanah
rakyat, memberi khidmat demi meningkatkan Syiar Islam, membangunkan bangsa dan
mendaulatkan tanahair.
- UMNO telah melalui pelbagai pengalaman. Bermulanya dengan berusaha
menyatu-padukan orang-orang Melayu dalam menentang pembentukan Malayan Union,
beralih kepada perjuangan memerdekakan negara. UMNO telah diuji sejak
Pilihanraya pada tahun 1955, kemudian melalui pahit getir perpecahan kaum pada
tahun 1969. UMNO diasak dengan pelbagai halangan dan dugaan dalam berjuang untuk
mengisi kemerdekaan, memajukan bangsa sambil terus berusaha mengekalkan
keharmonian antara kaum.
- Hari ini, setiap rakyat Malaysia sebenarnya telah berpeluang menikmati hasil
perjuangan UMNO. Tanpa kira bangsa, agama, keturunan atau ideologi politik,
setiap rakyat telah menikmati peluang untuk belajar, mengguna perkhidmatan
kesihatan dan memperoleh kekayaan hasil daripada dasar yang dibuat oleh
UMNO.
- Kalau seseorang itu jatuh sakit, lantas dipanggil ambulans untuk ke
hospital, UMNO lah yang usahakan agar perkhidmatan ambulans itu wujud, jalan
yang dilalui ambulans itu juga dibina Kerajaan yang ditunjangi UMNO, hospital
tujuan pesakit juga hasil titik peluh UMNO, doktor dan nurse dilatih oleh sistem
pendidikan yang diperjuangkan UMNO, pendekata tiada yang berlaku dinegara kita
ini yang UMNO tidak dari segi polisi Kerajaan dan perlaksanaannya. Begitu
besarnya perjuangan UMNO yang tidak disedari dan tidak diiktiraf ramai. Inilah
sumbangan fardu kifayah UMNO untuk seluruh rakyat Malaysia.
- Namun hakikatnya, UMNO juga telah di kecam, di tentang dan di khianat. Hari
ini, kita telah melihat dengan jelas tanpa selindung, anak-anak bangsa kita yang
sanggup bersekongkol dengan mereka yang sejak awal menentang cita-cita
perjuangan. Musuh kita jelas menghina Agama Islam dengan lantang dan berani
mendesak Kalimah Suci Allah digunakan dalam kitab selain al Quran ulkarim.
Mereka memesongkan fikiran rakyat dengan alasan hak asasi, keadilan dan hak
kesamarataan antara kaum.
- Apabila UMNO Kedah merintis usaha untuk menyekat penyebaran fahaman Syiah di
negara, jelas ianya mendapat sambutan yang hebat dari kalangan pendokong2 ahli
Sunnah wal Jamaah dari pelbagai latarbelakang politik. Malah penyokong penyokong
tegar PAS dan penggiat pondok2 agama yang dahulunya lebih cenderung kepada PAS
juga mulai meyakini UMNO, terus bersama kita dalam menyekat kemaraan Syiah. Kini
apabila pemimpin2 PAS di negeri Kedah ini juga tidak menyokong enakmen jenayah
syariah baru yang diluluskan di Dewan Undangan Negeri Kedah baru baru ini, jelas
terbukti keberanian UMNO untuk mempertahankan kesucian Islam lah yang disambut
baik oleh segenap lapisan ummat di negeri ini.
- UMNO berdepan dengan mereka ini. Cita-cita perjuangan kita untuk
meningkatkan syiar Islam, membangunkan bangsa dan mendaulatkan tanahair
terbantut dengan tanggungjawab untuk melawan akidah songsang mereka. Namun, apa
juga alasan dan halangan daripada puak seperti ini, tidak melemahkan semangat
kita untuk terus berkhidmat kepada rakyat.
- Untuk itu, UMNO mesti pandai menyesuaikan diri dalam apa juga situasi.
Setiap kita mesti memahami permasalahan rakyat dan merasai denyut nadi mereka.
UMNO mesti terus kekal relevan di mata rakyat. UMNO juga mesti Berani
Berubah!
- Saudara-saudari warga Keluarga UMNO sekalian, Setiap yang kita lakukan mesti
membawa maksud yang selari dengan landasan perjuangan asal UMNO. Begitu juga
setiap tindakan kita sebagai pewaris perjuangan ini mestilah dengan tujuan untuk
memperkukuhkan parti pusaka bangsa ini. Jangan ada diantara kita yang
mendahulukan kepentingan diri, keluarga mahupun kumpulan lebih dari kepentingan
parti.
- Saya berceloteh tentang perkara-perkara ini kerana kita semua sedia maklum
akan kehadiran musim pemilihan bagi mengisi jawatan-jawatan parti di semua
peringkat. Mengikut sejarah lama UMNO, inilah musim yang akan menentukan
kekuatan kepimpinan orang Melayu di Bumi Malaysia ini. Inilah waktunya, jika
kita tidak memelihara tindakan-tindakan kita, ianya boleh melemahkan, bukan
sahaja kepada diri kita sendiri tetapi kepada keseluruhan bangsa.
- Saya amat berharap, pemilihan parti yang akan kita lalui di peringkat
Bahagian dan Pusat tidak berapa lama lagi akan memberi semangat baru kepada
setiap seorang dari kita. Proses demokrasi yang digunakan, jika dipelihara
dengan sempurna tentu akan memberi perolehan yang terbaik untuk setiap seorang
dari kita.
- Dalam masa yang sama, hak untuk menawarkan diri dalam sebarang jawatan yang
layak kita tandingi bukan bermaksud kita harus segera mengisi borang pencalonan.
Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden contohnya, layak di tandingi oleh ramai
pemimpin yang pernah menjadi Ahli Majlis Tertinggi. Tetapi, kita sebagai ahli
parti yang taat setia dan insaf akan keburukan yang boleh dibawa melalui
pertandingan jawatan tertinggi parti, sebolehnya menolak mereka yang kepingin
menjawat jawatan tertinggi itu. Ini adalah kerana, kepimpinan yang sedia ada
adalah merupakan gandingan yang terbaik dan wajar diberikan sokongan seratus
peratus. Saya dengan tegas ingin memberi komitmen Badan Perhubungan UMNO Negeri
Kedah untuk mempertahankan YAB Dato Seri Najib Tun Razak dan YAB Tan Sri
Muhyiddin Haji Yassin sebagai Presiden dan Timbalan Presiden UMNO Malaysia. Jika
ada pihak atau individu yang berhasrat untuk mencabar kedudukan tersebut, UMNO
Kedah akan bersatu mempertahankan kedua pemimpin kita ini.
- Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian, Negeri Kedah ini terkenal dengan
sejarahnya yang tersendiri. Keagungan Kerajaan Kedah yang tertua di Asia
Tenggara dan masih kekal merupakan satu kebanggaan bukan saja bagi kita
anak-anak Kedah tetapi bagi seluruh rakyat di negara ini. Almarhum Tunku Abdul
Rahman Putra Al Haj, Bapa Kemerdekaan dan Perdana Menteri Malaysia yang pertama
adalah merupakan anak Kedah. Begitu juga Tun Dr Mahathir Mohamad, seorang anak
guru yang juga merupakan anak Kedah. Mereka telah begitu banyak berjasa kepada
negara dan kita berbangga dengan pencapaian mereka.
- Kita percaya, kegemilangan anak-anak Kedah ini dalam mengharumkan nama
negeri dan membawa kemakmuran kepada negara boleh diteruskan dengan
pemimpin-pemimpin sedia ada di masa kini. Kejayaan Barisan Nasional kembali
memegang tampuk Kerajaan Negeri Kedah adalah bukti kebolehan dan komitmen para
pemimpin kita, terutamanya pemimpin-pemimpin UMNO. Kebolehan dan daya kepimpinan
mereka ini wajar diberi pengiktirafan. Mereka-mereka ini wajar diberikan
tanggungjawab yang lebih besar dalam sama-sama merencana perjalanan parti
kita.
- Walaupun kejayaan besar yang telah kita perolehi, tentu sekali kita tidak
mampu menjadikan setiap pemimpin Negeri Kedah sebagai pemimpin di peringkat
Kebangsaan. Dalam perkara itu, saya amat bersyukur dengan komitmen dan tolak
ansur dikalangan Ahli Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah. Kami telah sama-sama
duduk berbincang dan mencadangkan pemimpin diantara kami yang boleh kita
ketengahkan ke peringkat Majlis Tertinggi UMNO. Begitu juga, di kalangan
Pergerakan sayap-sayap.
- Pada petang yang berbahagia ini, sukacita saya mengambil peluang untuk
memperkenalkan calon-calon Majlis Tertinggi yang akan mewakili kita dari Negeri
Kedah. Saya amat berharap agar kesemua mereka akan mendapat doa restu dan
sokongan padu dari keseluruhan jentera UMNO Negeri Kedah.
- Calon Pengerusi Tetap UMNO Malaysia
- Yang Berbahagia Tan Sri Badaruddin Ameruddin
- Calon-calon Ahli Majlis Tertinggi
- Yang Berhormat Dato’ Seri Mahadzer Khalid - Ketua UMNO Bahagian Padang Terap merangkap Ahli Majlis Tertinggi UMNO
Malaysia
- Yang Berhormat Dato’ Azeez Rahim - Ketua UMNO Bahagian Baling merangkap Ahli Majlis Tertinggi UMNO
- Yang Berhormat Dato’ Seri Jamil Khir Baharom - Ahli Majlis Tertinggi UMNO
- Tuan-tuan yang saya hormati dan kasihi sekalian, inilah calon-calon yang
akan mewakili Negeri Kedah ke peringkat pusat. Marilah kita sama-sama berusaha
keras, berdoa dan memastikan agar kesemua mereka terpilih agar dapat membawa
suara kita ke peringkat yang lebih tinggi. Saya mengharapkan agar setiap dari
kita, keluarga UMNO Negeri Kedah memberikan kesetiaan dan sokongan kepada setiap
calon ini. Boleh? Sokongan yang sama saya harap dapat diberikan kepada
calon-calon dari Pergerakan Wanita, Puteri dan Pemuda seperti yang telah
diperkenalkan tadi.
- Hadirin sekalian, telah berminggu-minggu saya disapa dengan persoalan apakah
saya akan menawarkan diri dalam apa-apa jawatan di peringkat Pusat. Sejak mula
saya menjadi ahli UMNO, saya hanya berhasrat untuk menumpahkan khidmat bakti
saya kepada Agama, Bangsa dan Tanahair. Berulang kali saya tegaskan, UMNO
bukanlah tempat untuk membina kerjaya atau mengumpul kekayaan. UMNO adalah wadah
perjuangan bangsa. Walau sejengkal ilmu yang ada dalam diri saya, akan saya
kongsikan bagi membina negara bangsa.
- Saya amat gembira apabila Barisan Nasional berjaya dalam Pilihanraya yang
baru lepas. Tumpuan selepas kejayaan tersebut adalah untuk mengekalkannya. Saya
tidak pernah merancang untuk bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri, jauh
sekali menyusun strategi untuk menduduki kerusi Menteri Besar mahupun Pengerusi
Perhubungan UMNO Negeri. Namun sebagai ahli parti, kita harus sentiasa bersedia
memikul apa juga tanggungjawab yang diarahkan.
- Kita juga harus melihat kehadapan. Parti-parti lawan telahpun memulakan
persiapan menghadapi Pilihanraya umum yang ke 14 dari sekarang. Di ketika itu,
mungkin AI sudah tiada dalam kancah politik negara. Mungkin juga tiada LKS, NA,
KS dan Haji H. UMNO akan berhadapan dengan ramai pemimpin-pemimpin muka baru
yang kini ditonjolkan dan diberi tanggungjawab menggalas jawatan jawatan penting
parti masing masingdan Kerajaan diperingkat negeri. Di pihak kita, apakah
persiapan yang telah kita lakukan. Apakah kita telah membuat persiapan dan
perancangan strategik untuk terus memegang tampuk pemerintahan Negara. Apakah
kita telah bersedia untuk meraih undi daripada lebih 3 juta pengundi baru nanti.
Inilah persoalan yang paling penting difikirkan sebelum kita sama-sama membuat
keputusan dan membantu pemimpin kita mengemudi parti.
- UMNO juga merupakan sebuah parti yang amat bergantung kepada kesetiaan
ahlinya. Pengikut dan pemimpin saling melengkapi. Sebagai pemimpin Negeri, saya
juga tidak dapat tidak, mendengar nasihat dan menerima desakan daripada
pengikut. Antara nasihat yang banyak saya terima ialah untuk memastikan saya
terus memberi khidmat, jika boleh, ke peringkat yang lebih tinggi.
Nasihat-nasihat ini, semakin menjadi sebagai satu harapan. Sebagai pemimpin,
saya semestinya tidak boleh lari dari perkara ini, yang juga merupakan satu
tanggungjawab.
- Ingin saya tegaskan sekali lagi, saya sesungguhnya menyokong penuh
kepimpinan YAB Dato Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO dan YAB Tan Sri
Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden UMNO. Saya sekali lagi menyeru agar
seluruh warga keluarga UMNO Negeri Kedah untuk bersama saya memberikan sokongan
padu kepada gandingan mantap mereka berdua.
- Saya juga bertegas, bahawa pemilihan UMNO adalah merupakan satu proses
demokrasi bagi membolehkan ahli-ahlinya membuat pilihan. Setiap pemimpin yang
ada, tentunya telah berusaha dengan penuh setia dan bertanggungjawab.
Pembaharuan yang difikirkan perlu dibuat, mesti dilakukan dengan penuh berhemah.
Jangan ada keji-mengeji, tohmah atau memperkecilkan sesama pemimpin. Yang lebih
penting sekali jangan sekali2 kita mencemarkan nama baik UMNO dengan amalan2
dalam proses pemilihan kita ini yang tentu akan merosakkan parti. Ingat kepada
Allah yang esa dan balasan di dunia dan akhirat. UMNO mesti kekal kuat dan
bersatu berlandaskan kepada nilai dan budaya yang murni.
- Hadirin-hadirat warga keluarga UMNO yang saya kasihi. Setelah menerima
banyak nasihat dari setiap lapisan kepimpinan, saya telah memikirkan apakah
jawatan yang sesuai untuk saya dipertanggungjawabkan. Saya telah memikirkan
kesesuaian masa dan amanah yang tinggi bagi setiap jawatan. Saya telah tanyakan
diri saya, apakah saya bersedia. Saya telah menimbang perkara ini dari setiap
sudut.
- Maka bagi mewakili zon utara di negara tercinta ini, khususnya Kedah yang
telah kembali kepangkuan UMNO, Kedah yang melahirkan Bapa Kemerdekaan, Kedah
yang juga melahirkan Bapa Pembangunan Malaysia, Kedah yang DYMM Tuanku Sultan
nya menaiki takhta menjadi Seri Paduka Baginda Yg DiPertuan Agong sebanyak dua
kali…….. bagi pemilihan parti kali ini saya dengan penuh rendah diri ingin
menawarkan diri bertanding sebagai Naib Presiden UMNO Malaysia.
- Saya mohon doa restu dari setiap warga keluarga UMNO Negeri Kedah. Saya
mohon sokongan dan dokongan yang tidak berbelah bagi. Hanya yang cekal dan
tabah, dapat membina mercu tanda bangsanya yang berjaya.
HIDUP UMNO
HIDUP UMNO
HIDUP UMNO
BERANIBERUBAH
BERANIBERUBAH
BERANIBERUBAH
Wassalamualaikum wbt.