Friday, June 13, 2014

Saman

Pakteh kurang arif tetnang undang-undang berkaitan saman jalan raya. Banyak pihak mendakwa tidak perlu bayar saman untuk kesalahan yang diambil secara curi (speed trap) dimana pemandu tidak menurunkan tandatangan pada kertas saman.

Ini ada lagi dari parti Pas yang mendakwa hal yang hampir serupa dan Pakteh secara lojik akal, menerima hujah yang diberikan.

SAMAN TRAFIK : KITA TAK PERLU BAYAR




Saya ingin menarik perhatian SAC Hj. Mohd Fuad Abd Latif, Ketua Trafik Pasukan PDRM, Jabatan Pengangkutan Jalan [JPJ], Kementerian Pengangkutan, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Peguam Negara dan seluruh rakyat Malaysia berkaitan pengumuman operasi besar-besaran bagi mengesan “pesalah trafik yang enggan menyelesaikan kira-kira 1.9 juta saman “tertunggak” dan waran tangkap yang belum diselesaikan yang diumumkan dalam siaran media PDRM pada 11 JUN 2014.

Sila rujuk kepada mana-mana perundangan samada Kanun Tatacara Jenayah atau pun Akta Pengangkutan Jalan 1987 berkaitan saman dan waran tangkap nescaya perkara berkaitan “saman tertunggak” dan waran tangkap yang belum selesai ini tidak akan berbangkit.

Saya tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan “saman tertunggak”. Jumlah kira-kira 1.9 juta “saman tertunggak” itu adakah “saman” atau “notis”? Saya mohon SAC Hj. Mohd Fuad Abd Latif jelaskan kepada masyarakat apa status sebenarnya.

Sudah acap kali saya jelaskan sebelum ini malah telah beberapa kali juga saya mencabar Pemangku Menteri Pengangkutan atau Peguam Negara atau Ketua Pengarah JPJ atau sesiapa sahaja yang berkaitan untuk membuktikan kepada saya kewajipan membayar saman dan kewajipan membayar kompaun selagi tidak diputuskan oleh Mahkamah. Jika ada peruntukkan mewajibkan kompaun dan saman dibayar, saya bersedia untuk membayar semua kompaun dan saman yang telah dikeluarkan, sebaliknya jika tiada maka saya memohon dilupuskan saman-saman lapuk yang telah dikeluarkan dan hentikan sebarang ugutan kepada pengguna. Sehingga hari ini tiada sebarang respon cabaran saya tersebut.

Untuk kesekian kalinya saya ingin maklumkan bahawa saman ialah notis meminta orang yang disaman hadir ke mahkamah dan kompaun hanyalah suatu tawaran penyelesaian bukan suatu kewajipan untuk membayar. Saman bukan seperti invois yang wajib dibayar yang mana kegagalan membayar dianggap hutang yang tertunggak.

Malah melabel penerima saman sebagai pesalah trafik juga adalah suatu label yang pra-matang dan tidak bertanggungjawab. Saman bukan bukti kesalahan. Setiap penerima saman bukan pesalah melainkan Mahkamah memutuskan mereka bersalah melakukan kesalahan. “Seseorang itu tidak bersalah melainkan dibuktikan bersalah”.

Saya tidak menentang sebarang penguatkuasaan undang-undang tetapi untuk menguatkuasakan undang-undang juga perlu mengikut undang-undang. Pihak berkuasa undang-undang tidak boleh sewenang-wenang menguatkuasakan undang-undang tanpa mereka terlebih dahulu mengikut undang-undang. Yang dituduh melakukan kesalahan perlu dihadapkan ke mahkamah untuk diadili. Jika mereka mengambil pilihan membayar tawaran kompaun, itu hak yang diberikan kepada mereka. Jika mereka tidak membayar tawaran kompaun, itu juga hak yang diberikan oleh undang-undang kepada mereka.

Saman tidak akan tertunggak jika semua saman dibawa ke Mahkamah untuk diadili. Jika penerima saman hadir Mahkamah dan mengaku salah, maka Mahkamah akan perintahkan membayar denda. Selesai saman. Jika penerima saman tidak hadir Mahkamah maka waran tangkap dikeluarkan supaya penerima ditangkap dan dibawa ke Mahkamah. Apabila ditangkap dan dibawa ke Mahkamah, maka proses yang sama berjalan. Jika penerima saman mengaku salah, maka Mahkamah perintahkan hukuman denda dan sebagainya. Selesai saman. Tiada tertunggak.

Polis keluarkan saman kemudian saman tersebut tidak dibawa ke Mahkamah. Apabila bertimbun saman dalam simpanan Polis maka dituduh dan dilabel penerima saman enggan selesaikan saman menyebabkan saman tertunggak. Yang menyebabkan saman tertunggak itu pihak berkuasa bukan yang menerima saman. Anda tidak buat kerja jangan salahkan orang lain.

Bagi menyelesaikan isu ini, saya cadangkan kepada PDRM atau JPJ untuk membawa semua saman dan daftarkan di mahkamah berkenaan. Apabila saman didaftarkan di mahkamah, saya percaya tidak akan timbul lagi isu ini. Kita hidup berpandukan undang-undang. Gunakan saluran undang-undang yang betul dan jangan jadi ketam.

ZULHAZMI SHARIFF
Timbalan Pengarah
Badan Mobilisasi Rakyat
Dewan Pemuda Pas Pusat
12 JUN 2014 / 14 Syaaban 1435
Pakteh ambil dari blog berikut

Sehubungan itu, Pakteh mohon bijak pandai, pakar yang boleh menjawab persoalan tersebut kerana jika benar....ramai rakyat teraniya kerana disabitkan kesalahan sebelum mahkamah memutuskan bersalah.

p/s: Tebang buluh.....mana la pakteh nak paham undang-undang yang susah ni...

No comments:

Edisi WAJIB baca

Kepada Sahabat-sahabat Blogger Yang Mana Link Blog Anda belum Di Letakkan Dalam List Blog Pakteh Di Harapkan Agar Dapat Meninggalkan Komen Bagi Memudahkan Pakteh Mengenal pasti Link Blog Yang Tercicir! (dalam proses update untuk tambahkan sebanyak mungkin link Pro UMNO/BN)
Terima Kasih